CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

PPS lancar CGS Online




Kuantan, 20 Disember – Universiti Malaysia Pahang (UMP) melancarkan CGS online bagi memudahkan  proses permohonan kemasukan bagi pelajar siswazah untuk menyambung pengajian di peringkat program Pengajian Siswazah di UMP.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dato’. Dr. Rosli Mohd Yunus berkata, inisiatif Pusat Pengajian Siswazah (PPS) bagi membangunkan aplikasi CGS Online ini merupakan satu nilai tambah kepada perkhidmatan kepada pelanggan yang berurusan dengan pusat ini.

“Aplikasi ini merupakan suatu inovasi yang memperkasakan sistem penyampaian sekaligus memudahcara pelbagai urusan dan proses yang berkaitan dalam memberi impak positif kepada pertambahan bilangan penuntut siswazah pada masa akan datang,” katanya semasa merasmikan CGS online di Dewan Bankuet, Canseleri.

Menurut Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Prof. Datin Nasli Mohamed Ali berkata, PPS kini menawarkan program pengajian siswazah secara penyelidikan dan kerja kursus melalui lapan fakulti dan termasuk Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan.

"Pada masa ini sebanyak 28 program ditawarkan di peringkat Ijazah Doktor Falsafah,  ijazah doktor kejuruteraan sebanyak 14 program, Ijazah Sarjana sebanyak 34 program dan empat program ijazah sarjana secara kerja kursus." katanya.

Sebelum ini katanya, proses kemasukan dan pengurusan pelajar hanya digunakan secara manual namun dengan adanya CGS online dapat menjimatkan masa dalam memproses permohonan pelajar.

Pada tahun ini seramai 152 pelajar mendaftar sebagai pelajar baharu, 47 daripadanya merupakan pelajar luar negara dan kini jumlah keseluruhan pelajar meningkat seramai 371 orang.
 

Beliau mengharapkan agar aplikasi ini dapat membantu meningkatkan mutu kerja harian dan peningkatan bilangan pelajar PhD selaras dengan Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara menjelang 2013.

Hadir sama Penolong Naib Canselor (hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Yuserrie Zainuddin, Penolong Naib Canselor (Pembangunan Korporat & Pengurusan Kualiti), Prof Madya Zulkafli Hassan, Dekan Sekolah Siswazah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Wan Salihin Wong Abdullah dan Pengarah Pusat Pengajian Siswazah Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof. Madya Dr. Izah Mohd.

Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 27-12-2011, 14:43:36